glitter-graphics.com God Is Love

Khamis, 14 Januari 2016

KEISTIMEWAAN PERUNDANGAN ISLAM

KEISTIMEWAAN PERUNDANGAN ISLAM
·  Rabbaniyyah ( Syariah itu dari Allah )
·  Balasan Duniawi dan Ukhrawi
·  'Alamiyyah dan Umumiyyah
·  Kekal
·  Syumul
·  Keseimbangan dan kerohanian

Ciri Pertama: RABBANIYYAH ( Syariah itu dari Allah )
Rabbaniyyah bermaksud hukum dan peraturan Islam ini dari Allah swt dan bukan dari ciptaan manusia. Ia merupakan wahyu Allah swt. Kepada nabi Muhammad saw dengan lafaz dan maknanya iaitu Al-Quran atau dengan makna tidak lafaz iaitu al-Sunnah. Ciri inilah yang membezakan antara perundangan duaniawi kerana ia bersumberkan manusia sedangkan perundangan Islam sumbernya pencipta itu sendiri. Berdasarkan hakikat tersebut maka prinsip-prinsip syariah dan hukum-hakamnya bersih dari sebarang kezaliman, kelemahan dan menurut hawa nafsu kerana penciptanya ialah Allah yang mempunyai kesempurnaan mutlaq.
Hukum-hukum syara' juga mempunyai kehebatan dan kehormatan dalam jiwa orang-orang yang beriman dengannya. Atas dasar inilah ia tetap dihormati dan dipatuhi dengan rela hati yang didorongi oleh jiwa yang bersih dan keimanan yang mendalam tanpa ada unsur-unsur paksaan.

Ciri Kedua : BALASAN DUNIAWI DAN UKHRAWI
Syariat Islam mempunyai balasan duniawi dan ukhrawi. Balasan duniawi  ini ada yang bersifat kanun jenayah dan ada yang dikatakan kanun civil . Balasan ukhrawi adalah dikenakan ke atas setiap pelanggaran hukum syara’ samada ia amalan hati mahupun amalan anggota  lahir, yang berkaitan dengan muamalat maliyyah(sivil) mahupun jenayah. 
Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah, dan siapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya akan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya dan melampaui batas-batas syariat-Nya akan dimasukkan ke dalam api neraka, berkekalanlah dia di dalamnya dan baginya azab seksa yang amat menghinakan.(An-Nisa:13,14)
Balasan ukhrawi menyebabkan seseorang muslim itu dengan sendirinya akan tunduk kepada hukum syariat samada dalam keadaan tertutup mahupun terbuka , pada waktu keseorangan mahupun di khalayak ramai, hanya semata-mata takut kepada Allah. 

Ciri Ketiga : ‘ALAMIYYAH DAN UMUMIYYAH
Syariah Islamiyyah menjadi rahmat kepada seluruh alam, menjadi pentunjuk kepada seluruh umat manusia dan merupakan peraturan untuk manusia sejagat pada semua masa dan tempat . Ia bukan perundangan untuk satu jenis manusia , Negara, bangsa dan kabilah tertentu sahaja, bahkan untuk manusia di mana juga mereka berada. Alamiyyah  atau kesejagatan Syariah Islam telah ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam firmanya yang bermaksud:
“Katakanlah wahai Muhammad: “Wahai sekalian manusia ! Sesunggunya aku adalah pesuruh Allah kepada kamu semuanya”. (Al-A’raf:158)
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan tidaklah kami mengutuskan engkau Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam. (Al-Anbia’:107)

Ciri Keempat: KEKAL
Syariat Islam kekal sepanjang zaman tanpa dinasakh dan tiada perubahan. Ia merupakan syariat Islam terakhir dan penutup syariat-syariat samawi. Nabi Muhammad adalah nabi yang terakhir.
Kesejagatan Syariat Islam, umum untuk seluruh manusia dan tidak menerima sebarang pembatalan dan tukar ganti, sudah pasti segala peraturan dan hukum - hakamnya itu dapat mencapai kepentingan manusia sepanjang zaman dan di semua tempat dan setiap masa, kerana Allah yang Maha Mengetahui telah menciptakannya untuk seluruh manusia.
Al- Quran yang merupakan sumber utama perundangan  Islam telah dijamin oleh Allah SWT terpelihara sehingga hari kiamat dan tidak dapat diselewengkan atau  diubah walaupun satu kalimah.  Sunnah nabawiyyah pula merupakan sumber kedua syariah islam. Ia merupakan penjelasan bagi al –Quran dan sebagai pelengkap bagi sistem-sistem Islam. 
Sekirang Allah menjamin terpeliharanya  Al-Quran sehingga ke hari kiamat maka secara tabi’i juga Allah menjamin terpeliharanya Sunnah Nabawiyyah sampai akhir zaman kerana kedudukannya adalah untuk menjelaskan al – Quran. 

Ciri Kelima: SYUMUL
Sesungguhnya Syariat Islam itu suatu system yang syumul mencakupi semua urusan hidup. Ia menggariskan untuk manusia jalan iman, menerangkan dasar-dasar aqidah, menyusun hubungan manusia dengan Tuhannya, memerintah bersihkan jiwa, dan mengatur hubungan manusia sesama  manusia. Berdasarkan kesyumulan ini dapatlah dibahagikan hukum-hukum Syariat kepada tiga kelompok :

  • Pertama: Hukum-hukum yang berkaitan dengan aqidah seperti beriman kepada Allah dan hari akhirat. Perbahasan hukum ini dan kajiannya terdapat dalam ilmu al-kalam atau tauhid.
  • Kedua: Hukum-hukum yang berkaitan dengan akhlak  seperti wajib bercakap benar, amanah, menyempurnakan janji, haram berdusta, khianat, mungkir janji. Hukum-hukum akhlak ini kajiannya adalah dalam ilmu akhlak atau tasauwuf.
  • Ketiga: Hukum-hukum yang berkaitan dengan perkataan dan perbuatan manusia dalam hubungan mereka dengan yang lain.  Hukum amali ini dinamakan dengan al-fiqh, perbincangannya tentulah dalam ilmu fiqh. Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
Bahagian pertama: Ibadat seperti solat, puasa dan zakat.
Bahagian Kedua: Adat dan muamalat yang bertujuan mengatur hubungan  manusia.

Kesyumulan syariat Islam ini tidak ada bandingannya dengan undang-undang ciptaan manusia, kerana undang-undang ciptaan manusia tidak mencakupi masalah aqidah, akhlak dan ibadat.

Ciri keenam: KESEIMBANGAN KEBENDAAN DAN KEROHANIAN
Antara keagungan perundangan Islam ialah ia tidak menjauhkan kebendaan daripada kerohanian dan tidak memisahkan dunia dan akhirat, tetapi ia memandang kehidupan itu sebagai satu unit yang mutakammil(lengkap melengkapi) dalam melaksanakan hak-hak Allah atau hak manusia itu sendiri ataupun hak orang lain.
Syariah Islam dengan sistemnya yang mutakammil tidak menyetujui kehidupan yang membujang ataupun pengasingan diri daripada masyarakat. Syariah menganjurkan kepada manusia untuk mengimbangkan antara keadaan-keadaan tersebut supaya tidak berat sebelah ataupun meninggalkan satu tangggungjawab demi tanggungjawab yang lain.
Al Quran sentiasa mendorong manusia kepada sifat keseimbangan antara kebendaan dan kerohanian. Terutamanya dalam menunaikan hak Allah seperti solat di samping kehidupan perniagaan. Allah swt berfirman yang bermaksud:
“laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula jual beli daripada mengingati Allah dan (daripada) mendirikan solat dan (daripada) membayar zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (pada hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.(An - Nur : 47)

Semua asas – asas yang diletakkan oleh Islam adalah untuk mengimbangkan kehidupan manusia antara kebendaan dan kerohanian,, agama dan dunia serta ibadah dengan kehidupan, agar manusia melaksanakan tugas dan menunaikan risalah dengan cara yang paling sempurna serta melakukan hak pada tempatnya dalam kehidupan.

Tiada ulasan: